Bunuh warga emas, anak angkat; 2 penganggur didakwa

Bunuh warga emas, anak angkat; 2 penganggur didakwa

Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkat, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah bulan lalu.

Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa dan Muhammad Haizan Abdul Rahim tidak dibenar ikat jamin dengan sebutan semula kes pada 14 Mei. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh dua lelaki termasuk warga emas di sebuah rumah di Tongkang Yard, bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, sebaliknya mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

Mereka didakwa membunuh Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, di sebuah rumah di Lorong Rose, Jalan Kota Tanah di Tongkang Yard pada 3.30 pagi, 21 Jan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta dengan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Huda Diyanah Amir Hamzah, manakala Fitri dan Haizan tidak diwakili peguam.

Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah tidak membenarkan ikat jamin terhadap kedua-dua lelaki itu dan menetapkan 14 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan forensik.

Dalam kejadian 21 Jan, Ibrahim dan anak angkatnya ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.