
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata, usaha itu merupakan suatu tanggungjawab moral yang selari dengan dasar luar negara yang konsisten menyokong perjuangan Palestin.
“Bagi memastikan ketelusan dan keyakinan semua pihak, dicadangkan agar langkah pembinaan sekolah dan hospital di Gaza ini dibentangkan secara terperinci di Parlimen.

“Dengan cara ini, perancangan, sumber dana, serta mekanisme pelaksanaannya dapat diperjelas, sekaligus mengukuhkan sokongan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keprihatinan terhadap isu global tidak bermakna keperluan rakyat sendiri diabaikan.
“Malaysia telah lama mengamalkan dasar membantu dalam dan luar negara secara seimbang, seperti yang terbukti dalam pelbagai misi kemanusiaan sebelum ini.
“Malaysia mesti terus menjadi suara yang lantang dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan menyumbang ke arah pembangunan semula Gaza,” katanya.
Minggu lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan memulakan usaha membangunkan semula Gaza dengan membina sekolah, hospital dan masjid sebagai sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas dengan kerjasama Jepun.
Katanya, projek-projek itu akan dilaksanakan dengan sokongan sektor swasta dan rakyat Malaysia.
Susulan itu, bekas menteri Rafidah Aziz mengingatkan kerajaan agar memberi perhatian kepada negara sendiri terlebih dahulu, memetik keadaan daif kebanyakan sekolah luar bandar, serta kekurangan di hospital kerajaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian menempelak pihak yang mempertikai usaha itu, termasuk ‘pemimpin-pemimpin lama’
“Ada pula golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dulu berkata sekolah kita pun tak selesai nak tolong orang lain. Ini perasaan hati manusia bagaimana ini?
“Kita tolong orang kampung lain, boleh kata kampung kamu (masalah) pun belum selesai. Dalam Islam tidak pernah fikir begitu,” katanya.