Seorang maut, 1 kritikal hidu gas hapus makhluk perosak

Seorang maut, 1 kritikal hidu gas hapus makhluk perosak

Enam pekerja lagi alami simptom awal pendedahan gas beracun selain doktor alami sesak nafas dan sakit tekak setelah buat CPR.

dead body
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang arah penutupan keseluruhan kawasan lokasi fumigasi di kilang di Prai, termasuk larangan penggunaan bahan kimia ‘methyl bromide’. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja maut selepas terhidu gas beracun selepas menjalankan kerja fumigasi kawalan makhluk perosak di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang.

Mangsa merupakan pekerja syarikat kontraktor dilantik bagi menjalankan kerja berkenaan bersama lapan pekerja lain, bermula 21 Jan hingga 28 Jan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang, berkata mangsa dilaporkan kembali semula ke lokasi fumigasi pada 29 Jan bersama seorang lagi rakan sekerja untuk mengambil bacaan gas di sebuah bangunan kilang tersebit.

“Kedua-dua mangsa mengalami muntah dan sesak nafas serta pengsan selepas meninggal premis itu. Mereka kemudian segera dibawa ke hospital berdekatan.

“Seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia di hospital pada 30 Jan, manakala seorang lagi mangsa dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, doktor merawat kedua-dua mangsa juga mengalami sesak nafas dan sakit tekak setelah membuat bantuan pernafasan (CPR).

Katanya, enam lagi pekerja didapati mengalami simptom awal pendedahan gas beracun telah dibenarkan pulang, tetapi masih di bawah pemantauan.

Justeru, arahan penutupan keseluruhan kawasan lokasi fumigasi di kilang tersebut dikeluarkan, termasuk larangan penggunaan bahan kimia ‘methyl bromide’.

Jabatan memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca darupada aktiviti pekerjaan di semua sektor.

Tindakan perundangan akan diambil mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 jika didapati berlaku pelanggaran dengan majikan boleh dikenakan hukuman maksimum RM500,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.