Ibu bapa Zayn mohon Mahkamah Tinggi semak keputusan tolak gantung bicara

Ibu bapa Zayn mohon Mahkamah Tinggi semak keputusan tolak gantung bicara

Mereka mohon mahkamah dengar segera susulan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tolak permohonan asal.

Zaim Ikhwan Zahari and Ismanira Abdul Manaf
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mendakwa pada 28 Jan, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Syahliza Warnoh menolak permohonan mereka bagi menggantung prosiding perbicaraan sementara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ibu bapa kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang menolak permohonan menggantung prosiding perbicaraan yang dijadualkan berlangsung Isnin depan.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf selaku pemohon memfailkan notis usul permohonan bersama afidavit sokongan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Menerusi notis usul yang diperolehi media, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pada 28 Jan, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Syahliza Warnoh menolak permohonan mereka bagi menggantung prosiding perbicaraan sementara.

Ini bagi menanti penyelesaian dan pelupusan penuh notis usul bagi membatalkan tuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Pasangan itu mendakwa susulan permohonan penggantungan itu ditolak, perbicaraan akan diteruskan pada 3 hingga 7 Feb.

Selain itu, mereka memohon supaya mahkamah mendengar permohonan tersebut dengan segera kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kesan prejudis terhadap mereka tidak dapat dipulihkan, memandangkan ia melibatkan hak asasi serta prinsip keadilan.

Pasangan itu memaklumkan, menurut Seksyen 35(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tidak seharusnya meneruskan perbicaraan pada Isnin ini sehingga notis usul (menggantung prosiding perbicaraan) diputuskan oleh mahkamah.

Menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan Zaim Ikhwan dan Ismanira, pasangan itu juga mendakwa mereka telah dinasihati peguam cara agar satu penggantungan prosiding harus diperintahkan Mahkamah Sesyen dan permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan tidak dibantah timbalan pendakwa raya, serta mengakui bahawa permohonan bagi membatalkan tuduhan harus diputuskan terlebih dahulu.

Pasangan itu juga berkata, tidak wajar dan amat merugikan sekiranya kedua-dua proses perbicaraan dan permohonan membatalkan tuduhan diteruskan serentak kerana ia akan memberi kesan prejudis kepada mereka apabila terpaksa menjalani perbicaraan.

“Kami sedang mencabar tuduhan tersebut kerana ia cacat dan tidak berasas untuk dibicarakan,” dakwa pasangan itu dalam afidavit berkenaan.

Pada 21 Jan, Zaim Ikhwan dan Ismanira memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan tuduhan tersebut dan memohon agar mereka dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada tuduhan berkenaan, yang tidak mendedahkan sebarang kesalahan bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 13 Jun lepas, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu tuduhan mengabaikan kanak-kanak berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.