Wan Azri nafi fitnah KPN

Wan Azri nafi fitnah KPN

Bekas pemimpin Pemuda Umno bergantung kepada pembelaan wajar dan komen adil bagi menangkis saman difailkan Razarudin Husain bulan lalu.

Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebagai pegawai awam bertanggungjawab atas keselamatan negara dan ketenteraman awam, harus tertakluk kepada kritikan awam.
KUALA LUMPUR:
Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris nafi memfitnah Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam saman difailkan terhadapnya bulan lalu.

Bekas pemimpin Pemuda Umno berkata, beliau bergantung kepada pembelaan wajar dan komen adil bagi menangkis tuntutan saman itu.

Dalam pernyataan pembelaan difailkan minggu lalu, Azri berkata Razarudin, sebagai pegawai awam yang dipertanggungjawabkan dengan keselamatan negara dan ketenteraman awam, harus tertakluk kepada kritikan awam.

“Reputasinya sebagai penjawat awam tidak dilindungi bawah undang-undang fitnah sedia ada atau Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (yang menjamin kebebasan bersuara).

“Oleh itu, Razarudin tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan ini,” menurut pernyataan pembelaan dikemukakan peguamnya, Tetuan Law Practice of Rafique.

Azri, yang mahu saman itu ditolak dengan kos, turut menafikan bertanggungjawab menerbitkan kenyataan fitnah di media sosial kerana beliau tidak menguruskan akaun-akaun tersebut atau mempunyai kawalan ke atasnya.

Beliau juga menafikan bahawa kenyataannya menjatuhkan reputasi Razarudin. Katanya, kenyataan tersebut tidak memberi gambaran bahawa Razarudin adalah seorang yang korup atau menyalahgunakan kuasa terhadap masyarakat atau Azri sendiri.

Azri berkata, kenyataannya terhadap Razarudin adalah balasan terhadap kenyataan Razarudin kepada media cetak dan dalam talian tanpa sebarang siasatan, yang memperjudiskan dirinya.

Beliau turut menafikan bahawa kenyataannya dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah Razarudin di mata masyarakat.

Katanya, sebagai pegawai awam, Razarudin sepatutnya bertanggungjawab, telus, dan menunjukkan tadbir urus yang baik.

Razarudin memfailkan saman terhadap Azri pada 26 Dis berhubung kenyataan dibuat dalam video dimuat naik di YouTube dan TikTok serta dikongsi di pelbagai platform media sosial lain.

Razarudin mendakwa, beliau digambarkan dalam video itu dengan istilah menghina dan dikaitkan secara palsu dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan serta injunksi untuk menghalang Azri membuat atau menerbitkan semula kenyataan itu, sama ada sendiri atau melalui individu ada kaitan dengannya.

Razarudin juga mahu Azri memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah daripada semua akaun media sosial serta media massa dan dalam talian, di mana saja ia telah disiarkan.

Pada 31 Dis lalu, Mahkamah Tinggi memberi perintah interim kepada Razarudin bagi memaksa Azri memadam beberapa catatan media sosial didakwa berunsur fitnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.