Tunggu ‘surat’ daripada peguam saya, Hannah beritahu Razman

Tunggu ‘surat’ daripada peguam saya, Hannah beritahu Razman

Menteri belia dan sukan berkata ucapan Razman Zakaria yang 'menuduhnya macam-macam' melebihi satu minit.

Hannah Yeoh berkata peguamnya akan menghantar notis tuntutan kepada Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hannah Yeoh akan menyerahkan notis tuntutan kepada Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, yang mendakwa pemimpin DAP itu mempunyai kaitan dengan keluarga Yeoh konglomerat YTL Corporation Bhd.

Walaupun Razman memohon maaf atas dakwaannya bahawa Ahli Parlimen Segambut itu ‘anak orang kaya’ dan ‘anak perempuan YTL’, Yeoh berkata pemimpin PAS tersebut membuat tuduhan lain yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya dalam ucapan sama.

“Sebenarnya ucapan Razman Zakaria pesuruhjaya PAS Perak yang menuduh saya macam-macam melebihi satu minit.

“Nantikan surat (tuntutan) daripada peguam saya. Fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutama oleh orang yang beragama,” kata menteri belia dan sukan di X.

Semalam, Yeoh membidas Razman mengenai dakwaannya dengan memberitahu Adun Gunong Semanggol itu bahawa ‘tidak semua (nama) Yeoh mempunyai kaitan’.

Walaupun Razman memohon maaf atas ‘kekhilafannya’, beliau juga menyuarakan rasa kecewa dengan liputan media terhadap ucapannya.

Razman mendakwa laporan media berkait isu terbabit hanya mengambil kira 10 saat daripada 30 minit daripada ceramahnya.

Ucapan itu dibuat dalam program Gerak Muafakat Perak diadakan selama tiga hari membabitkan tiga dewan utama PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.