Lelaki ditahan cuba sogok polis RM18,500

Lelaki ditahan cuba sogok polis RM18,500

Suspek sebelum ini menaiki pacuan empat roda bersama rakan sebelum ditahan untuk diperiksa anggota polis.

gari
Menurut sumber SPRM, suspek cuba menyogok polis selepas pelbagai jenis dadah dan alat disyaki untuk jenayah pecah rumah ditemui dalam kenderaannya.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan selepas cuba menyogok anggota polis sebanyak RM18,500 supaya tidak ditangkap dalam kejadian di Segamat, petang semalam.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek yang mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah berusia 30 tahun itu ditahan di Balai Polis Segamat kira-kira 3 petang semalam.

Katanya, insiden itu berlaku ketika pacuan empat roda dinaiki suspek bersama empat rakan lain, ditahan sebelum diperiksa anggota polis.

“Pemeriksaan lanjut dibuat ke atas tubuh badan dan kenderaan yang dinaiki menjumpai pelbagai jenis dadah dan alatan yang disyaki untuk jenayah pecah rumah.

“Semasa proses penahanan dilakukan, suspek telah menyogok anggota polis dan memberikan wang rasuah sebanyak RM18,500 dan meminta untuk tidak ditangkap.

“Hasil semakan kad pengenalan terhadap kesemua individu mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah,” katanya, menurut Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.