
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya akan mengenal pasti saksi yang perlu dirakam semula kenyataan selepas cuti Tahun Baharu Cina.
“Saya yakin proses ini tidak akan mengambil masa yang lama dan kertas siasatan akan dikembalikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada pemberita dalam sesi libat urus bersama wartawan di Bukit Aman.
Shuhaily berkata, beliau dan pegawai penyiasat juga akan menjalankan siasatan semula di lokasi kejadian kematian bekas pembantu exco Selangor itu.
“Kita telah mendapat perintah mandamus daripada mahkamah tinggi untuk menyerahkan kertas siasatan lengkap mengenai kes ini pada Mei ini. Seperti semua sedia maklum, kes ini sudah kira-kira 15 tahun dan telah berlaku banyak perubahan di lokasi berkenaan,” katanya.
Pada 21 Nov 2024 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis melengkapkan siasatan kes kematian mendiang dalam tempoh enam bulan.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa Teo terhadap ketua polis negara (KPN), pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, polis dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Teo ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang yang ketika itu setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Sementara itu, mengulas kes serangan simbah asid melibatkan pemain kebangsaan dan Selangor FC Faisal Halim, beliau menjelaskan siasatan kejadian berkenaan masih berjalan.
Menegaskan siasatan kes itu tidak pernah ditutup, Shuhaily bagaimanapun menjelaskan buat masa kini pihaknya masih tidak mempunyai petunjuk baharu yang dapat membantu siasatan.
Pada 5 Mei 2024, Faisal, 26, menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, menyebabkannya mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian badan.