
Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN), yang merangkumi Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus, masing-masing menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit.
“Antara kelebihan Simpan SSPN ialah perlindungan manfaat takaful secara percuma ke atas pendeposit, geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif dan patuh syariah.
“Pada Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju kriteria pemberian geran sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (Gapai), dengan mereka yang layak kini boleh memohonnya sehingga RM5,000 untuk satu keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Norliza berkata, Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej mampu milik dan manfaat perlindungan takaful yang komprehensif dengan komitmen serendah RM30 hingga RM500 sebulan.
“Produk ini menyediakan manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, khairat kematian bagi pendeposit, pasangan dan lima orang anak serta perlindungan ini dapat dinikmati sehingga umur pendeposit mencapai 69 tahun.
“Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan juga bersetuju memberi insentif pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan bersih Simpan SSPN sehingga RM8,000 setahun yang dilanjutkan hingga tahun taksiran 2027,” katanya.
Mengulas mengenai pelancaran Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025, Norliza berkata PTPTN menawarkan hadiah lumayan bernilai lebih RM1.5 juta untuk dimenangi 550 orang pendeposit dengan tempoh kempen bermula 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini.