COO konsesi lebuh raya didakwa terima rasuah RM70,000

COO konsesi lebuh raya didakwa terima rasuah RM70,000

Rostam Shahrif Tami yang diberi cuti bergaji didakwa menerima rasuah bagi penganugerahan pakej kerja kepada sebuah syarikat.

Rostam Shahrif Tami diiringi pegawai SPRM di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Ketua pegawai operasi (COO) sebuah konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM70,000.

COO Prolintas Group, Rostam Shahrif Tami, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rosli Ahmad.

Rostam yang diberi cuti bergaji didakwa menerima rasuah daripada wakil syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd sebagai balasan bagi penganugerahan pakej kerja Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kepada syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 April 2023 di kawasan tempat letak kereta Masjid Ibnu Mas’ud di Kampung Datuk Keramat.

Rostam dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM60,000 dengan syarat tambahan bahawa tertuduh perlu menyerahkan pasportnya dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Rostam diwakili peguam Dzulkifli Ahmad, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.