Bunuh 2 warga emas, penoreh getah dihukum mati

Bunuh 2 warga emas, penoreh getah dihukum mati

Tertuduh Muhammad Huzairi Razali didapati bersalah melakukan perbuatan itu pada 12 Julai 2019.

Gavel
Muhammad Huzairi Razali dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan membunuh dua warga emas. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang penoreh getah dihukum mati oleh Mahkamah Sesyen Muar selepas didapati bersalah membunuh dua lelaki warga emas di Segamat, enam tahun lalu.

Hakim Suria Kumar DJ Paul membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam penghakimannya, Suria memberitahu, tertuduh Muhammad Huzairi Razali, 39, juga didapati gagal melepasi untuk membuktikan dia berada dalam keadaan tidak waras pada tahap undang-undang.

“Oleh itu, mahkamah mendapati kamu bersalah dan disabitkan dengan kesalahan membunuh dua lelaki dan mahkamah memutuskan, kamu dihukum gantung sampai mati.

“Dengan hukuman ini, kamu boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap hukuman yang diputuskan,” katanya menurut Kosmo.

Sepanjang perbicaraan, seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Ku Cheng Liong @ Ku Sot, 71, di sebuah kedai kopi di Jalan Abdullah, Pekan Buloh Kasap, Segamat, Johor pada 5.50 petang, 12 Julai 2019.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membunuh Ng Wan Hong, 67, di hadapan kedai menjual durian di Jalan Ibrahim, Pekan Buloh Kasap, pada 6.03 petang hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dijatuhi hukuman mati dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai kejadian bunuh sebelum bergegas ke lokasi.

Sebaik tiba, polis ternampak Ng sedang bergelut dengan tertuduh di hadapan gerai ketika lelaki terbabit sedang bekerja sebagai penjual durian.

Semasa pergelutan berlaku, mangsa terjatuh dan tertuduh duduk di atasnya, menikam mangsa di dada dengan parang. Tertuduh berjaya ditahan polis.

Sebelum itu, tertuduh menetak mangsa yang sedang minum di kedai kopi hingga maut serta-merta di lokasi. Tertuduh beredar dan menuju ke arah mangsa kedua lalu menikamnya.

Mangsa kedua pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Buloh Kasap akibat parah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaei, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Radzi Yatiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.