
Menurutnya, PN mengakui ia akan bergelut untuk meraih undi kaum Cina di negeri itu – seperti dibuktikan oleh prestasinya pada PRU15 dan PRN 2023, apabila komponen berbilang kaumnya, Gerakan gagal memperoleh sokongan pengundi Cina untuk gabungan itu.
Sebaliknya, sumber berkata, gabungan pembangkang itu mendapati ada perubahan ketara sokongan dalam kalangan masyarakat India Pulau Pinang, khususnya pada PRK Sungai Bakap Julai 2024.
“PRK Sungai Bakap mendedahkan perubahan ketara pengundi India terhadap PN.
“Kami berharap strategi memfokuskan pengundi Melayu dan India Pulau Pinang akan mengukuhkan sokongan daripada masyarakat India sambil mengekalkan asas pengundi Melayu kami,” kata sumber itu kepada FMT.
PN julung kali merampas kerusi Sungai Bakap, yang pernah menjadi kubu kuat PKR, pada PRN 2023.
PRK diadakan tahun lalu susulan kematian Adunnya, Nor Zamri Latiff. Abidin Ismail dari PAS mempertahankan kerusi PN dengan majoriti 4,267 undi berbanding 1,563 undi terdahulu.
PRK Sungai Bakap turut menyaksikan peratusan keluar mengundi keseluruhan lebih rendah, dengan hanya 47% pengundi Cina menunaikan tanggungjawab mereka, khasnya disebabkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan perpaduan.
Pakar berpendapat keputusan itu menunjukkan masyarakat Cina mungkin memilih tidak mengundi daripada menyokong PN.
Gerakan kurang semangat, bertelagah dengan PAS
Walaupun PN berjaya menembusi Pulau Pinang pada PRN 2023 dengan memenangi 11 kerusi (PAS 7, Bersatu 4), Gerakan kalah teruk kecuali di sebuah kawasan.
Di kerusi Bayan Lepas, Presiden Gerakan, Dominic Lau meraih 13,573 undi, manakala calon Amanah, Azrul Mahathir Aziz sekadar mendapat 1,889 undi.
Tetapi, kempen pilihan raya Lau mendedahkan ketegangan antara Gerakan dan PAS, dengan pencalonannya dibantah beberapa pemimpin PAS negeri. Seorang pemimpin PAS turut meminta timbalan pengerusi PN yang hadir tanpa diundang itu supaya meninggalkan sebuah ceramah.
Pemimpin tertinggi Gerakan dan PAS turut berbincang pelbagai isu sejak dua tahun lalu, termasuk pembabitan kilang bir dalam mengumpul dana untuk sekolah Cina.
Tarik undi India
Bagi menarik undi kaum India, sumber PN berkata, gabungan itu sedang melihat kemungkinan mengangkat ahli India ke jawatan kepimpinan negeri.
Antara cadangan sedang dipertimbangkan ialah memilih seorang pemimpin India sebagai “poster boy” untuk PRN akan datang. Namun, sumber berkata, cadangan itu masih di “peringkat sangat awal” perbincangan.
Bagaimanapun, langkah itu mungkin mendapat tentangan hebat pemimpin PAS yang mungkin bertegas jawatan itu terikat kepada prestasi setiap parti komponen pada pilihan raya.
“Kita perlu lihat parti mana daripada gabungan yang memenangi kerusi paling banyak. Saya fikir adil untuk parti itu memimpin negeri ini,” kata Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim kepada FMT.