Ruang luas siasat dakwaan berkait Adun petunjuk tiada campur tangan, kata PKR Sabah

Ruang luas siasat dakwaan berkait Adun petunjuk tiada campur tangan, kata PKR Sabah

Ketua Penerangan Sabah Razeef Rakimin kata kenyataan SPRM dan arahan timbalan pendakwa raya menunjukkan pemimpin kerajaan tidak menghalang mahupun menekan.

Razeef Rakimin
Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin kata pendakwaan yang dilakukan secara terburu-buru dikhuatiri akan jadi cacat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ruang luas yang diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan ke atas dakwaan yang dikaitkan dengan beberapa Adun di Sabah menunjukkan kerajaan tidak campur tangan, kata PKR Sabah.

Menurut Ketua Penerangan Razeef Rakimin, kenyataan SPRM dan arahan timbalan pendakwa raya menunjukkan pemimpin kerajaan tidak menghalang mahupun menekan badan anti-rasuah untuk mempercepatkan pendakwaan.

“Dengan kertas siasatan yang masih belum lengkap, jika pendakwaan dilakukan secara terburu-buru hanya bagi memuaskan hati beberapa pihak, kita khuatir pendakwaan akan menjadi cacat seterusnya mengakibatkan individu yang bersalah terlepas dari hukuman dan mencemarkan kredibiliti pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya pada sidang media.

“Maka ini adalah reformasi yang dibawa oleh kerajaan perpaduan hari ini.”

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada 21 Jan lalu memaklumkan bahawa timbalan pendakwa raya mengarahkan pegawai penyiasat melengkapkan beberapa keterangan selepas kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di Sabah diserahkan.

Menurutnya lagi, timbalan pendakwa raya mahu ia disiapkan sebelum berakhir bulan ini.

Dalam siasatan yang bermula pada November lepas, SPRM memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan selepas seorang ahli perniagaan, yang mendakwa dirinya ‘pemberi maklumat’, mendedahkan beberapa video di Malaysiakini yang didakwa mendedahkan amalan korup dalam pengeluaran lesen cari gali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.