
Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata, dasar itu boleh menjadikan Malaysia kurang menarik kepada syarikat multinasional serta menjejaskan industri yang bergantung kepada pekerja asing berkemahiran.
Dasar itu menghendaki syarikat menyediakan sehingga tiga penempatan latihan amali untuk pelajar tempatan bagi setiap ekspatriat yang diambil bekerja. Ia dilaksanakan secara berperingkat bermula fasa rintis pada 15 Feb hingga 31 Dis sebelum berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Jan 2026.

Presiden MICCI, Christina Tee, berkata ia boleh meletakkan Malaysia dalam kedudukan tidak menguntungkan berbanding Singapura dan Vietnam, yang mempunyai dasar ekspatriat lebih mesra perniagaan.
“Menjadikan kewajipan berkaitan pengambilan ekspatriat mungkin mengehadkan pergerakan bakat, menyukarkan syarikat multinasional untuk menggunakan kepakaran tinggi apabila diperlukan. Kami jangka syarikat terutama PKS akan berdepan cabaran disebabkan kapasiti dan sumber terhad untuk melaksanakan dasar ini,” katanya kepada FMT.
Bawah dasar itu syarikat akan menikmati insentif cukai melalui Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP), disokong oleh ekosistem Insentif Latihan Amali (Ilham) dan Skim Latihan Industri HRD Corp.
Bagaimanapun, Tee berkata ini mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos menjalankan program latihan amali yang sewajarnya.
Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman, berkata organisasi itu tidak bersetuju bahawa pengambilan ekspatriat harus dikaitkan dengan latihan amali, terutama kerana syarikat perlu membelanjakan wang dan masa untuk melatih pelatih.
Beliau berkata, menyelia pelatih sambil menguruskan ekspatriat akan meningkatkan beban kerja pengurus.

“Untuk mengaitkan pengambilan ekspatriat dengan penempatan pelatih adalah pemikiran jangka pendek yang mungkin membawa kepada kemusnahan diri,” katanya dalam kenyataan.
Hussain berkata, banyak industri memerlukan pakar asing untuk membantu syarikat tempatan mempelajari kemahiran lanjutan, dan dasar itu boleh menghalang syarikat daripada menggaji ekspatriat.
“Realitinya Malaysia memerlukan ekspatriat…bukan ekspatriat yang memerlukan Malaysia,” katanya.
Kementerian Sumber Manusia berkata, Dasar Latihan Amali 1:3 itu dijangka memberi manfaat kepada 100,000 pelajar tempatan daripada institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Langkah itu memperkukuh sumbangan ekspatriat kepada pembangunan negara dengan memberi peluang bakat tempatan menjalani latihan amali berstruktur bagi mempersiapkan mereka memenuhi keperluan industri.