8 mahasiswa Malaysia di Universiti Al-Azhar terbabit nahas

8 mahasiswa Malaysia di Universiti Al-Azhar terbabit nahas

Education Malaysia Egypt berkata, tiga daripadanya dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut, manakala lima lagi dirawat sebagai pesakit luar.

Mahasiswa Malaysia di Universiti Al-Azhar dibawa ke hospital dengan ambulans selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke Port Said. (Gambar Facebook EME)
PETALING JAYA:
Lapan mahasiswa Malaysia di Universiti Al-Azhar, Kaherah terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke Port Said pada Sabtu.

Education Malaysia Egypt (EME) berkata, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut pihak hospital.

“Menjelang awal pagi 26 Jan, tiga pelajar yang dirawat dalam wad selamat dibawa ke hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam catatan Facebook.

Menurutnya, Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon yang mengalami luka ringan dirawat sebagai pesakit luar.

“Setiausaha Pertama (Pendidikan) EME, Ahmad Salehuddin Shafie dan Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman, bergegas ke Hospital As Salam Port Said untuk melihat keadaan mereka.”

Menurutnya, insiden itu turut mendapat perhatian Universiti Al-Azhar yang menghantar pegawai Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) Port Said untuk membantu lapan mahasiswa berkenaan serta memudah cara pengurusan bersama pihak hospital.

EME menasihatkan mahasiswa sentiasa berhati-hati dalam menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.