Rupanya serang penguat kuasa

Rupanya serang penguat kuasa

Lima warga asing ditembak semalam cuba serang anggota APMM dengan parang.

hussein omar khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata bot dinaiki suspek melanggar bot APMM sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguat kuasa dengan parang.
PETALING JAYA:
Lima lelaki warga asing yang ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting, semalam, dilaporkan cuba menyerang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan parang ketika rondaan dilakukan.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata bot dinaiki suspek melanggar bot APMM sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguat kuasa dengan parang.

Katanya, atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri pegawai APMM melepaskan tembakan ke arah bot dinaiki suspek yang kemudian melarikan diri dalam gelap.

“APMM kemudian menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan sebuah bot terdampar di Pantai Banting, pada 9 pagi hari sama.

“Pihak APMM bergerak ke lokasi sebelum menemui dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dan menunda bot dinaiki mereka ke pangkalan maritim di Pelabuhan Klang, serta mendapatkan bantuan ambulans,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati seorang lelaki meninggal dunia, manakala seorang lagi ditemui masih hidup dan dalam keadaan kritikal.

“Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, untuk mendapatkan rawatan.

“Pada 7.30 pagi semalam, tidak lama selepas kejadian tembakan itu berlaku, satu laporan polis dibuat pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, yang menyatakan menerima tiga pesakit lelaki disyaki warga asing dalam keadaan sedar yang cedera akibat tembakan pada anggota badan,” katanya.

Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.