Nombor plat ‘fancy’ bukan ancaman, JPJ diminta fokus pematuhan lalu lintas

Nombor plat ‘fancy’ bukan ancaman, JPJ diminta fokus pematuhan lalu lintas

Pakar berkata isu lebih penting adalah pematuhan peraturan lalu lintas yang memberi impak langsung kepada keselamatan pengguna jalan raya.

jpj motosikal
Pakar keselamatan jalan raya berkata JPJ perlu beri tumpuan kepada pematuhan peraturan lalu lintas antaranya penggunaan tali pinggang keledar, memandu bawah pengaruh alkohol dan laju.
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seharusnya memberi perhatian utama kepada isu pematuhan peraturan lalu lintas berbanding ‘bekerja keras’ mencari kesalahan nombor plat kenderaan, kata pakar.

Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ lebih kepada pilihan peribadi pemilik kenderaan untuk kelihatan bergaya dan menarik.

Law Teik Hua.

Katanya, ia tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan awam kerana isu lebih penting adalah pematuhan peraturan lalu lintas yang memberi impak langsung kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Antaranya penggunaan tali pinggang keledar, pemanduan bawah pengaruh alkohol atau memandu laju,” katanya kepada FMT.

Semalam, media melaporkan jabatan itu menggalakkan orang ramai mengadukan kesalahan penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ menerusi emel atau aplikasi MyJPJ.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramly, berkata orang ramai boleh memuat naik gambar nombor pendaftaran terbabit dan membuat aduan secara dalam talian.

Sebelum ini, seorang wanita di Kedah dilaporkan dikompaun kerana kereta jenis Honda City dipandunya menggunakan nombor pendaftaran seperti namanya.

Rosli Azad Khan.

Sementara itu, perunding perancangan pengangkutan Rosli Azad Khan yang menyambut baik langkah JPJ berkata pemilik kenderaan akan lebih prihatin dan tidak melakukan kesalahan berkaitan sewenang-wenangnya.

“Sekarang pesalah hanya takut kepada penguat kuasa JPJ apabila mereka membuat kesalahan. Tapi selepas ini mereka akan takut kepada pengguna jalan raya lain yang boleh melapor kesalahan mereka,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pendekatan itu JPJ boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Apabila tindakan diambil, jangan lagi beri diskaun ke atas denda dikenakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.