
Tiga jenis notis saman JPJ itu membabitkan Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan lebih tegas itu menyusul tawaran kompaun khas berkadar rata RM150 bagi tiga kesalahan terbabit mulai awal bulan ini hingga 30 Jun nanti.
Beliau berkata, pesalah jalan raya tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan, selain akan disenarai hitamkan sehingga tunggakan saman dijelaskan.
“Jadi, sekarang ini kita beri peluang kepada rakyat Malaysia yang mempunyai saman tiga kesalahan ditetapkan itu untuk menjelaskan segera.
“Ada dua juta lagi (saman tidak dijelaskan). Kita tidak akan cari (pesalah jalan raya) tapi kita sekarang dalam tempoh pemutihan, malah ramai belum tahu ada kadar kompaun khas ini,” katanya menurut Berita Harian sempena majlis sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan pakaian seragam sekolah kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior, Tanah Merah.
Menurutnya, sebanyak 83,000 tunggakan saman berjumlah RM12.5 juta dijelaskan sejak tawaran kompaun khas berkadar rata RM150 bagi tiga kesalahan itu bermula 3 Jan lalu.
“Kompaun Awas serendah RM150 saja, jadi ambillah peluang ini. Bayaran boleh dibuat melalui kaunter JPJ atau aplikasi MyJpj.”