Elak urusan rakyat terjejas, pertukaran petugas kaunter dilaksana berfasa

Elak urusan rakyat terjejas, pertukaran petugas kaunter dilaksana berfasa

Jabatan Perkhidmatan Awam akan menyelaras pertukaran petugas kaunter perkeranian yang merupakan pegawai guna sama melibatkan 1,063 orang.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata petugas kaunter berdepan cabaran masa kini melayan kerenah pelanggan yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menuntut penjelasan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pertukaran petugas kaunter yang berkhidmat melebihi lima tahun perlu dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan ketetapan baharu itu tidak merencatkan urusan perkhidmatan kerajaan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata, usaha itu selaras arahan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengenai dasar penggiliran kerja bagi penjawat awam bertugas di kaunter lebih lima tahun dan ia perlu dilakukan dalam tempoh sebulan ini.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menyelaraskan pertukaran petugas kaunter perkeranian yang merupakan pegawai guna sama melibatkan 1,063 orang.

Bagi petugas bukan pegawai guna sama seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen, katanya JPA akan mengkoordinasikan jabatan terbabit untuk memastikan pusingan kerja dilakukan dalam kalangan petugas bawah pengawasan ketua jabatan masing-masing.

Wan Dahlan berkata, petugas kaunter berdepan cabaran masa kini melayan kerenah pelanggan yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menuntut penjelasan.

“Oleh itu, perlu kaedah melengkapkan petugas dengan ilmu itu agar urusan berjalan lancar dan masyarakat dapat menikmati perkhidmatan kerajaan yang lebih baik.

“Ada sedikit cabaran di sini kerana apabila letakkan pegawai yang bertugas di kaunter, (mereka) perlu ada ilmu. Jadi, perkara berkenaan akan diambil kira supaya mereka (petugas) yang berada di kaunter boleh memberi jawaban dan sebagainya kepada pelanggan yang datang berurusan.

“Kita akan cari kaedah untuk melengkapkan mereka (petugas),” katanya dalam sesi temu bual hari ini.

Wan Dahlan berkata, tempoh bertugas maksimum selama lima tahun bukan perkara baharu, malah ketetapan itu diamalkan oleh perkhidmatan awam persekutuan sejak 20 tahun lalu.

Namun, harapan JPA ialah ketetapan itu diamalkan juga oleh perkhidmatan awam negeri dan badan berkanun berikutan banyak aduan diterima mengenai kualiti perkhidmatan di kaunter kerajaan.

Beliau berkata, bagi perkhidmatan awam persekutuan, pegawai awam bertugas di kaunter dikategorikan sebagai jawatan sensitif dihadkan tempoh bertugas tidak melebihi lima tahun kerana terdedah kepada rasuah dan salah guna kuasa.

“Namun, bagi pegawai yang bertugas di tempat bukan sensitif dihadkan tempoh bertugas tidak melebihi lapan tahun,” katanya.

Katanya, ketetapan itu adalah perkara baik untuk kerjaya seseorang dari segi pertambahan pengetahuan dan pengalaman, serta keselamatan dan perluasan jaringan rakan kerja.

Menurutnya, selain memantau prestasi pegawai awam, JPA akan turut memantau ketua jabatan agar pertukaran dilakukan berdasarkan prinsip ditetapkan dan demi kepentingan perkhidmatan secara keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.