
Seorang lelaki berusia 46 tahun maut di tempat kejadian akibat tersepit, manakala anak perempuannya berusia 15 tahun maut dipercayai tercampak sejauh 6m ke dalam gaung.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Razani Mamat, berkata Perodua Alza dipandu mangsa dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai bertembung sebuah lori 10 tan dari arah bertentangan.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.06 pagi tadi.
“Semasa operasi menyelamat, lelaki terbabit tersepit di bahagian pemandu dan tidak sedarkan diri,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, anggotanya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa, yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan.
Menurutnya, kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.