Polis tahan 7 suspek keldai akaun

Polis tahan 7 suspek keldai akaun

Polis berkata semua suspek terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM476,819.

handcuff
Ketua Polis Barat Daya, Sazalee Adam berkata suspek menyerahkan akaun bank dan kad ATM mereka kepada sindiket penipuan dalam talian untuk mendapat imbuhan.
BALIK PULAU:
Polis menahan tujuh individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian menerusi operasi khas semalam yang membabitkan kerugian RM476,819.

Ketua Polis Barat Daya, Sazalee Adam berkata mereka yang ditahan terdiri empat lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 35 tahun dalam operasi khas melibatkan siri tindakan Ops Nuri, Ops Merpati, Ops Belatuk dan Ops Pelican.

“Semua mereka yang ditahan terdiri pekerja kilang, penghantar makanan dan penganggur yang dipercayai bertindak sebagai keldai akaun dan suspek ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Sentul, Bangsar dan Serdang.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya mangsa antaranya menawarkan pelaburan palsu, skim pekerjaan tidak wujud, penjualan barangan dalam talian yang tidak dihantar dan penyamaran sebagai pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kerugian mangsa dianggarkan sebanyak RM476,819 dan melibatkan pelbagai transaksi kewangan seperti pindahan wang serta pembayaran melalui akaun bank.

Semua suspek dipercayai menyerahkan akaun bank dan kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka kepada sindiket sebagai balasan kepada imbuhan tertentu.

Sazalee memaklumkan tindakan itu membolehkan sindiket menjalankan kegiatan penipuan tanpa dapat dikesan secara langsung dan semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.