
Wanita berusia 42 tahun ditemui orang awam kira-kira 9 malam tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama anaknya berusia 14 tahun.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10 malam tadi dengan disahkan tiada unsur jenayah berlaku.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi bedah siasat.
“Setakat ini, kita mendapati tiada unsur jenayah dan bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa masih menunggu siasatan makmal,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di IPD Johor Bahru Utara.
Beliau berkata, menerusi perbualan terakhir mangsa dalam kumpulan WhatsApp bersama rakannya, mangsa memaklumkan baru selesai membeli-belah di kawasan kejadian, lalu berhenti seketika kerana kurang sihat.
“Mangsa yang mempunyai tiga anak tinggal di Bakar Batu, Johor Bahru dan keluar bersama anak bongsunya,” katanya yang mengesahkan enjin kenderaan masih hidup ketika dua beranak itu ditemui.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).