
Lau berkata keputusan memilih Wong Chia Zhen sebagai setiausaha agung baharu kerana Adun Kulim itu dilihat mampu memberikan komitmen lebih baik memandangkan beliau satu-satunya wakil rakyat Gerakan ketika ini.
“Saya nampak ada banyak cabaran pada tahun ni. Pertama kita mesti hadapi PRN Sabah dan kedua jika kita nak menang PRN dan PRU, kita mesti ada setiausaha agung yang boleh memberi komitmen lebih baik di platform yang sesuai.
“Adun Kulim, dia bersama YB lain, exco lain untuk bincang pendirian Gerakan, ini nampak lebih senang dan sesuai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur.
Lau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakannya yang menukar setiausaha agung baharu dimana pengumuman itu dibuat ketika Gerakan mengumumkan naratif baharu mereka pada 18 Jan lalu.
Untuk rekod, Loh dilantik pada 9 Sept 2023 iaitu selepas pemilihan parti sebelum ini.
Sementara itu Lau berkata lantikan itu juga dibuat berdasarkan naratif baharu Gerakan iaitu mahu memperkasa golongan muda.
“Jadi saya kena memperkasa orang muda, bagi lebih banyak platform untuk orang muda… Jawatan setiausaha agung dan bendahari adalah lantikan presiden. Saya tak boleh tukar timbalan presiden kerana mereka dipilih.
“Kita rasa Wong lebih komited, sesuai dan boleh sepenuh masa,” katanya.