
Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, memfailkan notis usul berkenaan menerusi Tetuan Wong & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Mereka memohon dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan pada 13 Jun tahun lalu, selain prosiding perbicaraan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya ditangguhkan.
Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul yang diperoleh menerusi pihak pembelaan, mereka mendakwa pertuduhan jenayah dikenakan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira selaku pemohon tidak mendedahkan sebarang kesalahan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kami (Zaim Ikhwan dan Ismanira) membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa, kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.
“Kami tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap kami, oleh itu kami tidak dapat menyediakan pembelaan,” katanya dalam afidavit dilihat media hari ini, menurut Berita Harian.
Menurutnya, mereka percaya pertuduhan dihadapi tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah, sekali gus tidak diberi hak Perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin mengikut Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Menerusi notis usul itu, semua pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah Sesyen dan kedua-dua pemohon sudah diprejudiskan dengan serius akibat daripada semua pertuduhan jenayah menyebabkan kegagalan keadilan yang memerlukan semua pertuduhan itu diketepikan dan dibatalkan.
Dalam pada itu, menerusi prosiding di Mahkamah Sesyen hari ini, peguam mewakili mereka, Haresh Mahadevan mengesahkan sudah menyerahkan notis usul itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam menerusi emel dan meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan Feb ini. .
Menurutnya, anak guamnya memfailkan notis usul itu pada 21 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin kemudiannya mengesahkan permohonan itu dan tidak membuat sebarang bantahan.
Hakim Syahliza Warnoh menetapkan 28 Jan bagi pengurusan kes untuk pembelaan mengemaskini status permohonan notis usul.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari 5 Dis 2023 hingga 9.55 malam keesokannya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.