Persatuan harap RUU pekerja gig mampu selesai pelbagai isu

Persatuan harap RUU pekerja gig mampu selesai pelbagai isu

Persatuan berkata mereka masih berdepan isu kadar tambang pengangkutan, lambakan syarikat penyedia perkhidmatan, insurans dan penguatkuasaan.

e hailing
Isnin lalu Menteri Sumber Manusia Steven Sim dilaporkan berkata kementerian bercadang membentangkan RUU pekerja gig pada sidang Parlimen akan datang.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan e-panggilan berharap rang undang-undang (RUU) pekerja gig dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen bulan depan dapat menyelesaikan keseluruhan isu dan permasalahan mereka.

Pengerusi Komuniti Penghantar e-panggilan, Hamdan Mahidin, berkata sehingga kini mereka masih berdepan isu kadar tambang pengangkutan, lambakan syarikat penyedia perkhidmatan, insurans dan penguatkuasaan.

“Apa yang diharapkan, RUU pekerja gig ini mestilah meliputi keseluruhan pemegang taruh yang terlibat dan juga dapat menyelesaikan keseluruhan isu serta permasalahan kami.

“Undang-undang sedia ada tidak mampu menyelesaikan masalah dalam industri gig termasuk isu Puspakom dan penguatkuasaan,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dilaporkan berkata kementeriannya bercadang membentangkan RUU terbabit pada sidang Parlimen akan datang dalam usaha melindungi kebajikan pekerja di sektor itu.

Katanya, satu sesi dialog secara besar-besaran akan diadakan bagi kali terakhir dalam masa terdekat, sebelum RUU itu dibawa ke Dewan Rakyat.

Beliau turut memaklumkan terdapat 1.12 juta pekerja gig di Malaysia dan 146 penyedia platform merangkumi 127 platform tempatan serta 19 dari luar negara.

Seramai 678,000 pekerja gig daripada 20 sektor mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 2 Ogos 2024, termasuk 145,232 pencarum sektor pengangkutan penumpang dan 96,224 pencarum sektor pengangkutan barangan dan makanan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan e-panggilan Melaka (PEM), Tan Kim Huat, menggesa kerajaan mengambil berat berhubung kawalan harga.

Beliau berharap ada kawalan terhadap syarikat tertentu supaya kadar ditetapkan tidak menjejaskan pendapatan pemandu, pada masa sama tidak membebankan penumpang.

“Kerajaan perlu kaji harga minimum dan maksimum yang perlu ditetapkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tan berkata, pekerja gig tiada pendapatan tetap juga harus menjadi pertimbangan dalam memperkenalkan dasar baharu untuk kumpulan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.