
“Itu bukan gambaran yang betul. Saya menentang kerja dalam ‘silo’.
“Dalam kerajaan, kita bekerja sebagai satu pasukan, kecuali dalam perkara yang membabitkan OSA (Akta Rahsia Rasmi),” katanya.
Najib berkata, di bawah kepimpinannya, semua keputusan Jemaah Menteri dimaklumkan kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk pelaksanaan.
Beliau turut menafikan dakwaan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin, yang sebelum ini mendakwa PMO mengamalkan budaya kerja secara silo ketika pentadbirannya.
Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan beberapa bekas kakitangan 1MDB yang mendakwa arahan kerja secara silo datang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low).
Bagaimanapun, bekas pengerusi 1MDB, Bakke Salleh, berkata beliau tidak pernah mendengar mengenai arahan sedemikian semasa berkhidmat di syarikat itu.
Najib juga menyelar kritikan daripada pembangkang ketika itu mengenai keputusan pentadbirannya menggunakan firma perhubungan awam antarabangsa, Apco Worldwide Malaysia.
Menurutnya, Apco sebenarnya diupah sejak zaman pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, dan beliau hanya meneruskan perkhidmatan firma tersebut.
“Pemimpin sebelum saya (Abdullah dan Dr Mahathir Mohamad) yang mulakan (guna firma perhubungan awam).
“Tetapi semasa zaman Mahathir (1981-2003), kritikan tidak sekuat sekarang kerana tiada media sosial,” katanya.
Najib menambah bahawa khidmat Apco akhirnya ditamatkan kerana bayaran yang terlalu tinggi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 hingga Dis 2014.