
Penduduk mendakwa mereka berdepan masalah pencemaran bunyi selain risiko keselamatan, merujuk bunyi kuat ledakan bahan peletup dari lombong didakwa terletak kira-kira 500 meter daripada kediaman orang ramai.
Pengerusi Persatuan Kejiranan Dahlia Zuhairi Zakaria mendakwa penduduk hidup dalam ketakutan sejak 2015 sekiranya berlaku tanah runtuh, banjir lumpur selain serpihan batu kuari melayang dan menghempap bumbung rumah.

“Pernah (2024) batu hempap bumbung rumah, pecah dan jatuh atas katil, mujur tiada orang ketika itu.
“Kalau tidak sudah pasti babit keselamatan serta nyawa manusia,” katanya kepada FMT sambil mengakui operasi lombong di Hutan Simpan Bukit Lagong itu telah bermula sebelum mereka menetap di perumahan terbabit sejak 10 tahun lalu.
Zuhairi berkata mereka akur dengan kelulusan itu namun meminta pihak berkuasa memantau operasi kuari supaya mematuhi garis panduan, selain kerap mengadakan dialog dengan penduduk.

Menurutnya, permintaan itu dibuat memandangkan banyak kesan operasi lombong didakwa telah menjejaskan kehidupan penduduk seperti banjir lumpur pada 2019.
“Penduduk rugi kerana harta benda rosak, kami bimbang ia berulang memandangkan aliran anak sungai itu kini berubah dan mengalir ke kawasan rumah dan masuk ke longkang perumahan. Ini tidak patut terjadi,” katanya.
Mengikut jawapan bertulis DUN Selangor pada 2022, lebih 20 kuari di hutan simpan berkenaan dibenarkan beroperasi secara berfasa melalui pengeluaran Lesen Kecil di bawah Seksyen 28 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.
Selain perlu mematuhi syarat berkait alam sekitar, pelesen juga perlu menyediakan rancangan pengurusan kuari 10 tahun yang antaranya merangkumi susun atur infrastruktur, kaedah perancangan aktiviti kuari dan pemuliharaan kawasan.

Bagaimanapun, kelulusan itu dipertikaikan ahli jawatankuasa persatuan penduduk Mohd Aminuddin Mohd Yusoff yang hairan mengapa banyak lesen diberikan jika operasinya menjejaskan kehidupan orang ramai.
“Sepatutnya ada audit macam mana boleh bertambah kepada 20 pengusaha kuari baharu, sebab itu hutan simpan,” soalnya.
Timbalan Persatuan Kejiranan Dahlia Mohd Sallehuddin Mohd Pandi pula meminta pihak berkuasa melakukan pemeriksaan berkala terhadap struktur bukit pada lombong itu untuk mengelakkan risiko tanah runtuh.
“Pastikan juga pelombong kuari ikut SOP untuk memastikan keselamatan penduduk,” katanya.
Selain perumahan Kejiranan Dahlia, kawasan lain yang turut terkesan operasi lombong itu termasuk Kampung Sri Indah, Bukit Rahman Putra, Taman Matang Jaya dan Taman Impian Indah.
FMT akan mendapatkan maklum balas Majlis Perbandaran Selayang dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan berhubung isu dibangkan penduduk.