Guru pukul murid: Polis rujuk TPR

Guru pukul murid: Polis rujuk TPR

Ibu murid itu sebelum ini menarik balik laporan polis berhubung kejadian, namun tampil membuat laporan kedua memohon tindakan lanjut diambil terhadap guru terbabit.

abuse
Kejadian yang tular di media sosial itu dilaporkan berlaku pada 10 Dis lalu.
PETALING JAYA:
Polis telah merujuk kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya berhubung dakwaan seorang murid sekolah rendah di Bagan Serai mengalami kecederaan akibat dipukul guru seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Juna Yusoff berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada ibu kepada murid terbabit yang mendakwa anaknya cedera akibat dipukul seorang guru lelaki berusia 30 tahun pada 10 Dis lepas.

Beliau berkata wanita berusia 40 tahun itu kemudiannya menarik semula laporan polis yang dibuat pada keesokan harinya kerana enggan memanjangkan kes tersebut.

“Bagaimanapun, baru-baru ini pengadu sekali lagi tampil membuat satu laporan polis memohon pihak polis meneruskan siasatan dan mahu tindakan lanjut diambil ke atas guru lelaki terbabit,“ katanya menurut laporan Bernama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya.

Justeru, Juna meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Katanya sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan (IPD) Kerian di talian 05-721 2222.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun cedera akibat ditampar dan ditumbuk gurunya sehingga mengalami gegaran dalam telinga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.