Cium murid, guru mengaku tak salah

Cium murid, guru mengaku tak salah

Kejadian berlaku di sebuah sekolah rendah dekat Pasir Gudang awal bulan ini.

gari
Tertuduh berusia 36 tahun dibenar ikat jamin RM12,000 dengan kes disebut semula pada 27 Jan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
PETALING JAYA:
Guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memeluk dan mencium pipi seorang murid perempuan berusia 10 tahun, awal bulan ini.

Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan memeluk badan dan cium pipi kanan dan kiri mangsa, dalam bilik stor kelas reka bentuk dan teknologi, sebuah sekolah rendah dekat Pasir Gudang, sekitar 10.30 pagi, 1 Jan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Berita Harian.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga selesai, melapor diri ke balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport ke mahkamah.

Tertuduh yang berpendapatan RM6,000 sebulan kemudian memohon jaminan yang rendah kerana mempunyai tanggungan keluarga serta menanggung ibu bapa yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri ke balai polis berhampiran sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Jan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.