Cadangan Risda jadi pembeli tunggal getah akan dibentang kepada Jemaah Menteri

Cadangan Risda jadi pembeli tunggal getah akan dibentang kepada Jemaah Menteri

Cadangan itu bertujuan memastikan majoriti pasaran getah dikuasai pekebun kecil, kata Zahid Hamidi.

Cadangan menjadikan Risda pembeli tunggal getah bagi pekebun kecil bawahnya adalah sesuatu yang diusahakan bagi membela nasib mereka, menurut Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
BANGI:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi akan membentangkan kepada Jemaah Menteri cadangan menjadikan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pembeli tunggal getah bagi pekebun kecil bawahnya.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, beliau telah meminta ketua pengarah dan ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menyediakan kertas Jemaah Menteri dalam tempoh dua bulan ini.

“Saranan pengerusi Risda (Manndzri Nasib) menjadikan Risda pembeli tunggal getah untuk pekebun kecil (bawahnya) … merupakan suatu ‘game-changer’,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan Risda 2025.

Zahid berkata, tujuan menjadikan Risda pembeli tunggal getah adalah agar 89% pasaran getah dikuasai pekebun kecil Risda, manakala selebihnya oleh ladang-ladang besar.

“Mungkin kolaborasi juga boleh dilakukan untuk menentukan peningkatan harga getah serta pengeluaran lateks dapat dipertingkat kerana (pada masa ini) kita terpaksa mengimport lateks dengan nilai RM6 bilion setahun sedangkan kita pengeluar (getah).

“Langkah baharu ini adalah sesuatu (yang kita usahakan) untuk membela nasib pekebun kecil yang terpaksa bergantung kepada harga lantai.

“Dalam keadaan ini, biarlah kita yang tentukan pasaran, bukan pasaran yang tentukan harga,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata, negara menyasarkan untuk kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, sasaran tersebut realistik sekiranya usaha penanaman semula dan inovasi dalam industri getah dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.