‘Bodyguard’ didakwa tunjuk pistol ketika rompak kedai emas

‘Bodyguard’ didakwa tunjuk pistol ketika rompak kedai emas

Saifulzaman Hamzah didakwa mendatangkan ketakutan mati atau cedera ke atas dua pekerja kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Cheras.

Pengawal peribadi Saifulzaman Hamzah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menunjukkan pistol terhadap dua pekerja ketika rompakan sebuah kedai emas di Cheras, 4 Jan lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pengawal peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menunjukkan pistol terhadap dua pekerja kedai emas semasa rompakan di sebuah pusat beli-belah, awal bulan ini.

Saifulzaman Hamzah, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Lelaki itu didakwa menunjukkan senjata api semasa rompakan dengan cara mendatangkan ketakutan mati atau cedera ke atas dua wanita masing-masing berusia 21 dan 18 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai emas, di sebuah pusat beli-belah di Cheras di sini pada 12.45 tengah hari 4 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan juga disebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Hisham Md Nen yang mewakili Saifulzaman merayu mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan memandangkan tertuduh menanggung isteri tidak bekerja, tiga anak serta ibu dan bapa yang uzur.

Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Feb untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.