Bantuan kewangan untuk NGO anjur program perpaduan diteruskan, kata menteri

Bantuan kewangan untuk NGO anjur program perpaduan diteruskan, kata menteri

Tahun lalu, 78 program perpaduan diterajui NGO melalui kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 621,739 peserta.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berharap NGO yang menerima bantuan itu terus berganding bahu memperluaskan usaha capaian dan memperkukuhkan keberkesanan pelaksanaan program perpaduan.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara akan meneruskan inisiatif pemberian bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi menganjurkan program perpaduan.

Menterinya, Aaron Ago Dagang berharap NGO yang menerima bantuan itu terus berganding bahu memperluaskan usaha capaian dan memperkukuhkan keberkesanan pelaksanaan program perpaduan.

Beliau berkata, 78 program perpaduan diterajui NGO melalui kerjasama kementerian dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 621,739 peserta tahun lalu.

“Bagi 2025, kementerian memberikan fokus kepada penganjuran program berteraskan harmoni dalam kepelbagaian dan pembinaan negara bangsa.

“Melalui penerapan dua fokus ini dalam program yang bakal dianjurkan, usaha untuk memperkasakan hubungan antara pelbagai kelompok masyarakat dan pembinaan identiti nasional akan dapat direalisasikan,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Pelancaran Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, tatakelola baik aspek kritikal bagi kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Perancangan tatakelola yang konkrit dapat menatijahkan ketelusan, akauntabiliti, keterangkuman dan keberkesanan. Semua ini menyumbang kepada wujudnya pentadbiran madani, demokratik dan mampu berfungsi dengan baik.”

Aaron berkata, permohonan bantuan melaksanakan program perpaduan akan diuruskan dalam talian, sejajar reformasi perkhidmatan awam dan amalan tatakelola.

Menurutnya, penambahbaikan melalui portal BKPP adalah manifestasi bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan.

“Dengan adanya portal ini, diharapkan proses permohonan dan kelulusan bantuan kewangan kepada NGO menjadi lebih efisien.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.