
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata sepasukan polis dari Unit Risik Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM)Wilayah Dua (W2) Muar dibantu Pasukan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam menyerbu sebuah premis di kawasan perindustrian Parit Hulu, Jalan Bakri, Muar pada 4.30 petang Selasa lalu.
Menurutnya, 319 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM503,665 dirampas dalam serbuan pertama.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang juga penjaga premis ditahan kerana gagal mengemukakan lesen pemilikan bahan letupan.
Katanya, ia disusuli serbuan kedua pada 10.30 malam kelmarin, di mana sepasukan polis dari Markas Taktikal PPM W2 Mersing yang sedang menjalankan tugas pemantauan mengesan sebuah Toyota Vios putih dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan serbuan menahan kereta dipandu seorang lelaki tempatan di Taman Desa Sri Endau, Mersing. Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai jenis mercun serta bunga api disembunyikan di tempat duduk belakang dan but kereta.
“Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan lesen sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ketika proses dokumentasi di Pejabat Markas Taktikal PPM W2 Mersing, Kumar berkata, seorang daripada suspek beberapa kali cuba memberi suapan RM2,500 kepada pasukan operasi bagi mengelakkan tindakan undang-undang, walaupun diberikan amaran.
Beliau berkata, dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan, manakala suspek cuba menyogok polis itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.