Sindiket tuang minyak masak peket dalam botol tumpas di Johor

Sindiket tuang minyak masak peket dalam botol tumpas di Johor

Sindiket meraih untung lebih RM10 dengan minyak diisi dalam botol 5kg lalu dijual kepada restoran dan kedai runcit.

lilis
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata pihaknya menemui 5,100 peket minyak masak subsidi dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat, di Johor Bahru. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa tumpas sindiket tuang semula minyak masak subsidi RM2.50 sepeket dalam botol minyak lima kilogram yang dijual kepada restoran dan kedai runcit, di Johor Bahru.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mendapati sindiket menuang lima peket minyak bersubsidi dan menjual pada harga RM22.70.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata pihaknya menemui 5.78 metrik tan minyak atau 5,100 peket, dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat, di Taman Bukit Mewah.

Katanya, seorang lelaki berusia 42 tahun juga ditahan.

Beliau berkata, 137 botol minyak masak sudah dibungkus semula turut dirampas membabitkan anggaran keseluruhan minyak masak dirampas lebih RM131,000.

“Kita bertindak pantas menyerbu premis kediaman ini dan mendapati terdapat kegiatan membungkus semula minyak masak peket sekilogram ke dalam botol minyak lima kilogram.

“Kita dapati kegiatan ini tidak mempunyai kebenaran atau kelulusan dari segi lesen dan sebagainya,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, minyak peket ini dipercayai diperoleh daripada pemborong di Melaka dan Selangor.

Lilis berkata, rampasan itu adalah terbesar setakat ini dengan kes disiasat Peraturan 31 Perintah Kawalan Bekalan 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.