
Aaron berkata beliau kesal dengan kejadian berlaku beberapa minggu selepas kontroversi penjualan sandwic ham dan cheese yang kini dalam siasatan polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Oleh itu, saya memohon agar semua pihak tidak mengeruhkan keadaan lagi dengan mengeluarkan atau membuat tindakan provokasi.
“Saya ingin mengingatkan setiap warganegara Malaysia mempunyai tanggungjawab menjaga dan memelihara sensitiviti demi memastikan keamanan serta kesejahteraan negara kekal terjamin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak cuba mengganggu gugat keharmonian negara yang dengan cubaan mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat.
Polis mengesahkan kejadian simbahan cat merah berlaku semalam itu kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, UM menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyimbah cat merah di premis KK Mart dalam kampusnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“UM memandang serius kejadian simbahan cat yang berlaku di premis KK Mart dalam kawasan kampus,” katanya.
Premis itu sebelum ini terpalit kontroversi berhubung penjualan sandwic ‘ham & cheese’ yang didakwa menggunakan logo halal secara tidak sah.
Jakim mengesahkan kepingan ayam yang digunakan dalam sandwic tersebut mempunyai sijil halal, namun sandwic itu sendiri serta syarikat yang mengeluarkannya tidak memiliki sijil halal.
KK Mart juga menggantung semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwic berkenaan serta menghentikan bekalan produk daripada Shake and Bake Cafe ke semua cawangannya.