
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor berpandangan kenaikan caj perkhidmatan tersebut tidak wajar, memandangkan pengguna membayar caj lain yang ditetapkan kerajaan.
“Dia boleh letak tabung ‘tip’, jadi orang boleh letak RM5, RM10 kerana orang Malaysia ini berperikemanusiaan dari segi memberi, mereka akan bagi,” kata presidennya, Jacob George.
Beliau juga bimbang perkembangan ini akan menetapkan suatu duluan pada masa akan datang.
“Esok jika kita ada perayaan lain siapa yang nak hentikan pengusaha yang menggunakan taktik yang sama? Ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura semalam, mengesahkan ada peniaga akan mengenakan caj perkhidmatan sehingga 15%, berbanding 10% kini, pada hari cuti Tahun Baharu Cina.
Menurut presidennya, Wong Teu Hoon, kenaikan caj itu merupakan ‘tip’ kepada pekerja yang sudi bekerja pada hari tersebut. Hari cuti umum sempena Tahun Baharu Cina 2025 jatuh pada 29 dan 30 Jan.
Pengesahan tersebut menyusuli kecaman warganet terhadap sebuah restoran di media sosial, susulan notis memaklumkan kenaikan caj perkhidmatan, kepada 15% daripada 10%, bagi pelanggan yang makan di premis pada hari pertama dan kedua Tahun Baharu Cina.
Menurut gambar notis yang tersebar, caj itu tidak termasuk SST 6%. Rata-rata warganet mempersoal adakah kenaikan caj perkhidmatan itu sah dan dibenarkan kerajaan, terutama pada musim raya.
“Sekiranya peniaga menaikkan caj perkhidmatan kepada 15% berbanding kadar biasa 10%, mereka seharusnya memastikan lebihan caj tersebut disalurkan kepada pekerja, terutama jika ia dikutip sebagai ‘service charge’ dan bukan sebagai keuntungan tambahan,” kata CEO Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Saravanan Thambirajah.
Beliau berkata pihaknya faham musim perayaan sering membawa peningkatan kos operasi, termasuk gaji pekerja lebih masa dan permintaan yang tinggi, namun peniaga diingatkan bersikap telus dalam mengenakan sebarang caj tambahan.
“Caj perkhidmatan yang dikenakan perlulah munasabah dan seiring dengan perkhidmatan tambahan yang diberikan,” katanya.
Saravanan menyarankan peniaga mematuhi undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perlindungan Pengguna, yang melindungi hak pengguna daripada amalan harga yang tidak adil.
“Pengguna dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan memeriksa resit pembayaran serta tanda harga sebelum membuat pesanan di restoran, terutama semasa musim perayaan,” katanya.
“Jika terdapat caj yang mencurigakan atau tidak diwartakan dengan jelas, pengguna berhak untuk meminta penjelasan daripada pihak restoran. Jika berlaku sebarang ketidakpuasan hati, mereka boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.”
Saravanan turut mengalakkan pengguna memilih premis yang mempunyai tanda harga yang jelas dan mengelakkan restoran yang mengenakan caj perkhidmatan yang tidak berpatutan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu.