
Elaun persekolahan itu membabitkan bantuan RM100 sebulan selama lima tahun.
Anis Nur Fatihah Ahmad Syahid, 15, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) turut menerima sebuah peranti untuk memudahkan pembelajaran dan bakul makanan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarganya.
Dia dipilih bawah Skim Anak Angkat Yayasan Pelajaran Mara (YPM), selain 49 murid lain dalam kategori asnaf mulai 2022 hingga 2028 bagi persekolahan dari tingkatan 1 hingga 5.
Penajaan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM370,000 melalui zakat PTPTN di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Bantuan disampaikan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah Kanan YPM Zainal Rashid Zakaria dan Pengetua MRSM Arau Mohd Zamzuri Md Noor.
Sementara itu, Dasuki berkata pihaknya mengadakan pelbagai program kemasyarakatan bagi meringankan beban dan membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya.
“Hari ini tumpuan kami adalah untuk memastikan pelajar kategori asnaf dapat meneruskan pengajian mereka dengan bantuan sumbangan daripada PTPTN.
“Diharapkan melalui program ini masalah keciciran persekolahan akibat kemiskinan dapat dikurangkan melalui akses pendidikan sama rata,” katanya sambil menyambut baik kerjasama dengan YPM serta MAIPs.
Menurutnya, PTPTN sebagai agensi bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited meningkatkan pelaksanaan program CSR terutama dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa.
“Ia selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’ dan tagline ‘PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu’,” katanya.