
Ahli Parlimen Penampang itu yakin kedudukan dalam PH Sabah yang dipersoalkan segelintir pihak akan terjawab dan ditentukan berdasarkan kemampuannya menjalankan tanggungjawab di peringkat kementerian terbabit.
“Biar saya fokus tanggungjawab kementerian saya buat masa ini.
“Pencapaian, kerja keras dan kerja berpasukan saya di sini sepatutnya menentukan kedudukan saya dalam mana-mana pun,” katanya ditemui selepas majlis kementeriannya di sini.
Beliau mengulas kedudukan dan pengesahan beliau sebagai pengerusi Sabah PH yang bakal ditentukan Majlis Presiden.
Pada 1 Dis lalu, Ewon menewaskan Christina Liew dari PKR, yang memegang jawatan pengerusi PH Sabah sejak 2017, dengan kelebihan tiga undi.
Bagaimanapun, PKR Sabah tidak bersetuju dengan keputusan pemilihan kerana mendakwa jawatan itu sepatutnya milik parti itu, menurut suatu formula dipersetujui dan dipatuhi semua komponen.
Upko pada 5 Jan lalu mempertahankan keputusan pemilihan kerana tiada bantahan mahupun pertikaian dibuat.
PKR Sabah di sebalik autonomi yang diuar-uarkan mahu campur tangan Majlis Presiden PH yang merupakan jawatankuasa tertinggi gabungan dan dianggotai PKR, DAP, Amanah, serta Upko.
Semalam, ketuanya Mustapha Sakmud mengesahkan belum ada sebarang kata putus Majlis Presiden berhubung ‘pertikaian’ yang berlaku.