
Pengerusi pasukan petugas khas itu, Borhan Dollah, berkata mereka tidak menemui bukti yang menyokong dakwaan mendiang Dr Tay Tien Yaa dizalimi ketua jabatannya.
Menurutnya, tiada bukti menunjukkan Tay menanggung beban kerja di luar skop atau permohonan pertukaran ke Semenanjung Malaysia diabaikan.
Beliau berkata, jawatankuasa bebas itu sudah menyemak 41 dokumen, termasuk gambar dan video, dalam inkuirinya ke atas kematian Tay.
Pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah itu meninggal dunia pada 29 Ogos lalu. Adiknya mendakwa buli mungkin antara faktor menyebabkan kematian kakaknya.
Ia mendorong Persatuan Perubatan Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Sabah mempercepatkan siasatan menyeluruh ke atas kematian Tay kerana bimbang kesihatan mental dan kesejahteraan doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
Borhan berkata pasukan petugas turut mengemukakan beberapa cadangan termasuk menyediakan sokongan lebih baik untuk pekerja penjagaan kesihatan ditempatkan di luar negeri asalnya untuk membantu menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran berbeza.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad turut mengakui tekanan kerja dan tekanan yang dihadapi Tay, dengan menyatakan keterbatasan sumber berbanding dengan jawatannya sebelum ini di Hospital Kuala Lumpur.