Malaysia mahu tambah baik FTA, rangkumi pendigitalan

Malaysia mahu tambah baik FTA, rangkumi pendigitalan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedang menimbang pendigitalan sebagai sebahagian 'penambahbaikan' dalam beberapa FTA sedia ada.

Anwar Ibrahim bercakap pada sesi taklimat media ‘Unlocking Asean Digital Future’ di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2025 di Davos. (Gambar Bernama)
DAVOS:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata pendigitalan merupakan “komponen tercicir” dalam semua perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia sebelum ini.

Menekankan transformasi digital antara keutamaan digerakkan secara agresif oleh Asean, beliau berkata, Malaysia yang sedang merancang menambah baik beberapa FTA sedia ada juga menimbang pendigitalan sebagai sebahagian “penambahbaikan” itu.

“Kami baru saja memeterai FTA dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lepas. Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan United Kingdom. Dan kini, kami mahu mempercepatkan kemajuan dengan Kesatuan Eropah melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA).

“Satu komponen sangat penting yang tiada dalam semua FTA sebelum ini sudah tentunya pendigitalan,” katanya pada taklimat media di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di sini, pada Selasa.

Mengenai transformasi digital dalam Asean, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, ketersambungan dipacu kecerdasan buatan (AI) perlu mengambil kira pelbagai jurang di kawasan bandar dan menyediakan lebih banyak ketersambungan ke kawasan kurang membangun.

“Komitmen kami adalah untuk memastikan penghantaran seperti ini (Grid Kuasa Asean atau APG) dan juga transformasi pendigitalan akan meliputi semua sudut dan bidang.

“Jika kedua-dua keutamaan ini dicapai, saya fikir ia akan menjadi satu pencapaian luar biasa bagi Asean sebagai sebuah rantau kerana seperti yang anda tahu, secara relatifnya ia adalah rantau paling aman di dunia dan ekonomi paling pesat berkembang. Tetapi, kami tidak memberi penekanan kepada kerjasama ekonomi atau teknologi substantif.”

Anwar turut menyuarakan keyakinan konsensus dicapai dalam kalangan pemimpin Asean, menandakan peralihan radikal sangat penting daripada pandangan konvensional pemimpin Asean pada masa lalu.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan sektor swasta bersatu melalui kerjasama dalam pendigitalan untuk mempercepatkan inisiatif dalam kalangan negara anggota.

Selain pendigitalan, negara anggota juga menyasar untuk merealisasikan APG, rangkaian saling sambung kuasa serantau untuk menghubungkan rantau itu, yang seterusnya boleh membawa kepada sistem grid kuasa Asia Tenggara bersepadu sepenuhnya.

APG menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, termasuk sambungan Sarawak-Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut.

Anwar berkata demikian ketika berkongsi pandangannya tentang “Unlocking Asean Digital Future” sebagai pengerusi Asean pada taklimat itu.

Turut hadir Lee Joo-Ok, ketua agenda serantau, Asia-Pasifik; ahli jawatankuasa eksekutif WEF dan Christophe De Vusser, rakan kongsi urusan global Bain & Company.

Anwar kini dalam lawatan kerja tiga hari menghadiri WEF 2025, yang julung kali dihadirinya sejak dilantik perdana menteri pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.