
Beliau berkata, sejak menerajui kerajaan, dua keutamaannya ialah pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Saya fikir ia sangat tidak adil…dalam falsafah politik saya untuk menafikan sebahagian besar (rakyat) kemudahan kesihatan terbaik dan sudah tentu infrastruktur asas di hospital dan AI memainkan peranan penting di dalamnya.
“Melalui AI, ia bukan saja meningkatkan kecekapan dan menampilkan teknologi canggih, tetapi pada masa yang sama, ia mengurangkan pembaziran dari segi kos,” katanya pada sesi “Country Strategy Dialogue” di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di sini.
Anwar berkata demikian semasa menjawab soalan peserta dalam sesi dikendalikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berhubung pandangannya mengenai AI dan sistem kesihatan awam.
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang turut hadir dalam sesi itu berkata, bagi membolehkan AI berfungsi dengan baik dalam sistem penjagaan kesihatan, infrastruktur yang perlu mesti disediakan.
“Anda mempunyai banyak data, kebanyakannya masih dalam bentuk analog dan anda perlu memikirkan cara untuk menjadikan ia digital secepat mungkin. Anda perlu mempunyai mekanisme yang membolehkan data itu dikongsi.
“Apabila anda mempunyai kemudahan AI, ia membolehkan kita mencari penyelesaian kepada masalah masa lepas, dan itu langkah pertama. Akhirnya, ia mengenai pembinaan ekosistem.”
Beliau berkata, di sinilah peranan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).
“Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian, bermula dengan Kementerian Kesihatan. Kami libatkan pegawai daripada kementerian, termasuk menteri untuk mengenal pasti dan mengutamakan bidang tumpuan utama.”
Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengumpul pandangan dan memahami bidang tertentu yang memerlukan perhatian segera, memastikan usaha itu disasarkan dan berkesan.
Anwar kini dalam lawatan kerja tiga hari menghadiri WEF 2025, yang julung kali dihadirinya sejak menjadi perdana menteri pada 2022.