2 nelayan Melaka ditemui selamat di Indonesia

2 nelayan Melaka ditemui selamat di Indonesia

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan berkata dua nelayan itu diselamatkan nelayan Indonesia selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk serta kerosakan enjin.

operasi pencarian nelayan
Maritim Melaka dan Negeri Sembilan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat selepas dua nelayan itu dilaporkan hilang petang Khamis lalu.(Gambar Maritim Malaysia)
PETALING JAYA:
Dua nelayan dari Jeti Padang Temu di Melaka yang dilaporkan hilang ketika keluar memukat ikan di perairan Pulau Undan pada 15 Jan lalu, ditemui selamat di Dumai, Indonesia.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abd Aziz, berkata Muarep Sakem, 63, dan Rosenizam Maharam, 55, diselamatkan nelayan Indonesia selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk serta kerosakan enjin.

“Kami bersyukur kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan serius.

“Mereka kini di Dumai dan pihak kami sedang bekerjasama dengan Konsulat Malaysia di sana bagi menguruskan proses penghantaran pulang ke Malaysia,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau mengingatkan nelayan dan orang awam lebih berhati-hati dengan perubahan cuaca tidak menentu serta memastikan bot dalam keadaan baik dan dilengkapi peralatan keselamatan sebelum keluar ke laut.

Pada 17 Jan lalu, media melaporkan dua nelayan hilang selepas bot mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Undan, Melaka.

Maritim Melaka dan Negeri Sembilan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat selepas dua nelayan itu dilaporkan hilang petang Khamis lalu.

Sementara itu, Adun Telok Mas merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Abd Razak Abd Rahman menghubungi dua nelayan itu malam tadi dan berjanji akan menguruskan kepulangan mereka bersama Jabatan Imigresen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.