Tol percuma musim perayaan tak selesai masalah kesesakan, kata Zahid

Tol percuma musim perayaan tak selesai masalah kesesakan, kata Zahid

Timbalan perdana menteri menasihatkan pengguna merancang perjalanan pada musim perayaan tanpa bergantung kepada bantuan tol percuma.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi berkata pengecualian tol ketika musim perayaan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada pemegang syarikat konsesi melebih RM35 juta setahun.
PUTRAJAYA:
Pemberian tol percuma sempena cuti musim perayaan seperti dilakukan sebelum ini tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya, kata Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.

Katanya, pengecualian tol bagi setiap perayaan itu juga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung jumlah ganti rugi dalam bentuk pampasan kepada pemegang syarikat konsesi melebih RM35 juta setahun.

“Walaupun ia (jumlah ganti rugi) tidak melibatkan pampasan tunai secara langsung tetapi tempoh konsesi tol itu terpaksa di panjangkan.

“Jadi keputusan itu (tiada tol percuma musim perayaan) adalah keputusan jemaah menteri hasil daripada saranan menteri kerja raya,” katanya selepas Majlis Anugerah Pemenang Rural Business Challenge 2.0 2024 di Putrajaya.

Terdahulu hari ini, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melaksanakan pemberian tol percuma sempena cuti musim perayaan seperti dilakukan sebelum ini.

Katanya, kerajaan bagaimanapun akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Tanpa memperincikan pendekatan bersasar itu, beliau berkata kerajaan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Zahid berkata, susulan keputusan itu, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan pulang ke kampung pada musim perayaan tanpa bergantung kepada bantuan tol percuma.

“Sebagai pengguna kita mesti menjadualkan kepulangan kita ke destinasi tetapi yang penting gelagat kita menggunakan jalan raya mesti berubah sekarang ini.

“Kita mesti menukar (tanggapan) bahawa perolehi diskaun ataupun diberi tol percuma (oleh kerajaan) itu sebagai hadiah dan apabila tiada hadiah kita mesti menukar cara kita memandu untuk sampai ke destinasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.