
Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, berkata isu berkenaan bersifat teknikal dan keputusan mengenai jawatan itu perlu diputuskan Majlis Presiden PH, yang merupakan jawatankuasa tertinggi gabungan dan dianggotai PKR, DAP, Amanah, serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).
“Apa jua keputusan yang dibuat, sama ada di peringkat pusat atau negeri, perlu melalui Majlis Presiden. Perkara yang sama juga perlu dilakukan jika ia melibatkan sebarang perbezaan antara parti dalam gabungan PH,” katanya.
“Setakat ini, belum ada sebarang kata putus Majlis Presiden berhubung hal yang berlaku. Kita sebagai pimpinan di peringkat negeri akan akur dengan segala keputusan,” kata timbalan menteri pendidikan tinggi ketika ditemui selepas sesi lawatan kerja di Politeknik Ungku Omar (PUO).
Disember lalu, Presiden Upko Ewon Benedick, yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi dipilih sebagai pengerusi PH Sabah bagi penggal 2024 hingga 2026.
Bagaimanapun, pada 12 Jan lalu media melaporkan PKR Sabah tetap mahukan jawatan pengerusi PH yang kini disandang Ewon, supaya jawatan tersebut kekal disandang parti berkenaan seperti sebelum ini.