3 mengaku tak salah culik budak perempuan

3 mengaku tak salah culik budak perempuan

Tertuduh didakwa menculik kanak-kanak itu daripada penjaganya pada 4 Jan lalu.

Gavel
Tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan culik kanak-kanak perempuan pada 4 Jan. (Gambar Pexels)
KUALA LUMPUR:
Tiga individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan dua tahun, awal bulan ini.

Pekerja kilang D R Thevagaran dan dua pengganggur M Haris dan V Durga Nanthini yang semuanya berusia 21 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa secara bersama menculik kanak-kanak berkenaan daripada penjaganya yang sah di tepi Jalan Pandan Indah 1/1, Taman Maju Jaya, di bawah jejambat E9, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada 6.30 petang, 4 Jan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie manakala peguam Lingswaran Singh mewakili Thevagaran dan Haris. Durga Nanthini pula diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ernie Ahmad.

Terdahulu Nadiah tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang diperuntukkan bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin, namun Lingswaran dan Ernie memohon jaminan rendah kerana anak guam mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret Normaizan Rahim menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.