Titah adendum: Ku Li perlu mohon maaf pada Anwar, kata pemimpin PKR

Titah adendum: Ku Li perlu mohon maaf pada Anwar, kata pemimpin PKR

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Fahmi Zainol berkata ketua Umno Gua Musang perlu lebih peka kerana perdana menteri sudah menjelaskannya dengan sempurna.

Tengku Razaleigh Hamzah Ku Li
Ahli Majlis Pimpinan PKR Fahmi Zainol berkata kenyataan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkait titah adendum adalah tuduhan melulu dan tidak berasas sama sekali.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR menggesa veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah memohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas dakwaan kerajaan gagal melaksanakan titah adendum berkait tahanan rumah Najib Razak.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol, berkata ketua Umno Gua Musang perlu lebih peka, tambahan isu adendum sudah dijelaskan Anwar dengan sempurna.

“Saya dengan ini menggesa Tengku Razaleigh Hamzah memohon maaf secara terbuka kepada perdana menteri di atas kenyataannya yang bersifat menuduh secara melulu dan tidak berasas sama sekali.

“Umno Gua Musang perlu menjadi lebih peka dalam mengikuti perkembangan mutakhir sebelum melontarkan pertuduhan berat,” katanya yang juga Adun Pantai Jerejak dalam kenyataan.

Kerajaan Anwar telah berulang kali dituduh menyembunyikan titah adendum itu.

Tengku Razaleigh, atau Ku Li, mengulangi dakwaan itu semalam dengan berkata, tindakan ‘mengingkari, menyembunyi atau menafikan’ titah dikeluarkan Agong sebagai ‘penderhakaan besar’.

Minggu lalu, Anwar berkata titah adendum yang dikeluarkan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertarikh 29 Jan 2024 telah dihantar kepada peguam negara ketika itu (Ahmad Terrirudin Salleh).

Katanya, titah adendum itu dihantar semula ke Istana Negara selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ditabal menjadi Agong ke-17 pada 31 Jan tahun lalu.

Najib mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan membenarkannya menjalani tahanan rumah mengikut titah adendum itu.

Pada 2 Feb tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara 12 tahun Najib dipendekkan kepada enam tahun, manakala denda RM250 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.