
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata Md Feries Sallih cedera di kepala dan patah jari tengah tangan kiri dalam kejadian itu.
Menurutnya, kontraktor berusia 38 tahun itu memukul kepala mangsa beberapa kali menggunakan beg berisi telefon dan menumbuk dada kirinya.
“Pada 3.30 petang Jumaat lalu, mangsa ke rumah suspek di Meridian Taman Kluang Barat, Kluang untuk menjelaskan kerja pembaikan rumah seperti dikehendaki suspek,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, suspek yang tidak berpuas hati, bertindak memarahi mangsa sebelum menendang belakang badannya dan merampas beg lelaki itu.
“Susulan itu, suspek ditahan di IPD Kluang hari ini dan permohonan reman akan dibuat esok untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.”
Menurutnya, suspek pada awalnya membeli rumah di Meridian Taman Kluang Barat dan menghantar aduan kerosakan rumah kepada syarikat perumahan terbabit.