Sasar 18 kerusi, PN Sabah terlalu ‘cita-cita tinggi’, kata penganalisis

Sasar 18 kerusi, PN Sabah terlalu ‘cita-cita tinggi’, kata penganalisis

Dengan persekitaran politik semasa, 'jika nasib baik' PN mungkin menang tiga atau empat kerusi, kata James Chin.

Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin ketika di Kota Kinabalu minggu lalu berkata, gabungan itu akan bertanding sekurangnya 18 kerusi pada PRN Sabah tidak lama lagi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) meletakkan sasaran yang terlalu bercita-cita tinggi apabila ingin bertanding 18 kerusi pada PRN Sabah tahun ini, kata penganalisis politik James Chin.

Katanya, PRN 2020 (di mana Bersatu menang 11 daripada 18 kerusi ditandingi) tidak boleh dijadikan penanda aras kerana landskap politik di Sabah telah berubah secara ketara.

“Saya rasa 18 kerusi adalah terlalu banyak,” kata Chin kepada FMT. “Kebanyakan orang berpendapat Bersatu kini sudah lemah di Sabah, dengan kebanyakan calon boleh menang telah menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau parti lain.”

james chin
James Chin.

Katanya, sekiranya PN bernasib baik mereka mungkin mampu menang tiga atau empat kerusi. “Tetapi tidak mungkin mereka boleh menang 11 kerusi lagi,” kata Chin, yang juga professor di Universiti Tasmania.

Pada 2020, PN bekerjasama dengan GRS dan Barisan Nasional (BN) berdepan gabungan pemerintah Warisan-Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, PH, Umno, dan GRS kini sekutu di blok kerajaan persekutuan, manakala GRS dan PH turut membentuk kerajaan Sabah. BN dan Warisan pula duduk di blok pembangkang.

Minggu lalu, Timbalan Pengerusi PN, Hamzah Zainudin, berkata gabungan itu menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 18 daripada 73 kerusi DUN dalam PRN akan datang.

Seorang lagi penganalisis, Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah, berkata PN perlu bekerjasama dengan parti-parti tempatan di Sabah dan memberi fokus kepada isu-isu setempat berbanding isu nasional untuk menarik sokongan rakyat negeri itu.

Katanya, PN perlu ‘mempertimbangkan dengan teliti’ sentimen tempatan, terutamanya dalam soal slogan dan calon.

Bagaimanapun, Chin berkata hampir setiap parti sedang berbincang dengan parti lain untuk membentuk pakatan pilihan raya, seperti yang lazim berlaku di Sabah.

Romzi Ationg.

Katanya, adalah jelas tiada satu parti pun yang mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

“Semuanya mencari sekutu dan ini boleh berubah dalam beberapa jam sehaja. Apa yang paling mungkin berlaku kita akan melihat PH bergabung dengan GRS,” katanya.

Chin berkata tokoh seperti Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dijangka selamat kerana mereka sudah dikenali ramai dan mempunyai pengaruh yang kukuh di Sabah.

“Mereka sudah lama berada dalam politik, jadi mereka mempunyai jenama sendiri. Tidak kira sama ada Bung ahli parti tempatan atau parti nasional. Jika beliau menang, itu kerana beliau adalah Bung Moktar, bukan kerana ahli Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.