PM tekankan nilai kemanusiaan, kebersamaan rakyat di perantauan

PM tekankan nilai kemanusiaan, kebersamaan rakyat di perantauan

Anwar Ibrahim seru rakyat Malaysia di luar negara berganding bahu bersama semua pihak dalam usaha membangun dan memajukan negara.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam majlis santai bersama diaspora Malaysia di Brussels, Belgium. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan menghormati dan menjuarai nilai kemanusiaan dalam usaha membentuk Malaysia sebagai sebuah negara bertamadun dan berjaya pada masa hadapan.

“Namun, perkara itu sukar berlaku jika rakyat, khususnya golongan belia dan anak muda, masih melayan budaya terlalu selesa, tidak mahu berubah malah terpedaya dengan mainan politik murahan sesetengah pihak,” katanya dalam majlis santai bersama diaspora Malaysia di Brussels, Belgium seperti dikongsikan dalam catatan terbaharunya di Facebook.

Anwar, yang kini dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Belgium, turut menyeru rakyat Malaysia di luar negara berganding bahu bersama semua pihak dalam usaha membangun dan memajukan negara.

“Justeru, nasihat saya adalah untuk terus membangun dan berjaya, perlunya kebersamaan daripada semua pihak termasuk anak jati Malaysia yang berada di luar negara agar negara tidak ketinggalan di persada dunia,” katanya.

Majlis dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.