Lelaki ditahan pandu lawan arus langgar 4 kenderaan

Lelaki ditahan pandu lawan arus langgar 4 kenderaan

Polis berkata dua pemandu dilaporkan cedera, dengan seorang daripadanya masih dirawat di sebuah hospital swasta dan dilaporkan stabil.

Lelaki pandu lawan arus
Gambar tular di media sosial menunjukkan Mitsubishi Lancer dipandu melawan arus di Jalan Chain Ferry.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan dipercayai memandu kereta melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan empat kenderaan di Jalan Chain Ferry, Butterworth.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, berkata suspek 28 tahun itu ditahan pada 4 petang Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD kawasan terbabit menerima maklumat kemalangan yang menyebabkan dua cedera pada 2.15 petang.

“Hasil siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati Mitsubishi Lancer dipandu suspek yang bergerak di Jalan Chain Ferry tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan menyebabkan keretanya melanggar sebuah pacuan empat roda dan tiga kenderaan lain dekat situ,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, dua pemandu dilaporkan cedera, dengan seorang daripadanya masih dirawat di sebuah hospital swasta dan dilaporkan stabil.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah dan permohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi menjalani ujian darah dan siasatan lanjut kes ini.”

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan kemalangan sebuah kereta dipandu melawan arus yang melanggar beberapa kenderaan lain di Jalan Chain Ferry Sabtu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.